C11-1.jpg

Faiq Hishamuddin

Mengapa pilih sekadar mengisi peluang yang ada kalau kita mampu mencipta peluang untuk diri, keluarga, dan masyarakat?

 

TEDxUKM menyedari betapa pentingnya untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa pada zaman Revolusi Industri 4.0 bagi menjamin kebolehpasaran graduan UKM, serta menyahut gagasan universiti yang tekad dalam melahirkan pendaulat amanah negara.

 

Siri Penerokaan kali ini menampilkan ikon mahasiswa universiti yang cukup sinonim dengan Moto UKM yakni “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.

  • Instagram

Kisah Faiq

Faiq Ishammuddin, satu nama yang tidak asing dalam bidang keusahawanan di Universiti Kebangsaan Malaysia, pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Faiq seorang mahasiswa yang kini berkecimpung dalam dunia keusahawanan. Beliau merupakan pengasas kepada Syarikat Bakeri “Abang Brownies“ yang melakar kejayaan dengan mencecah pendapatan bulanan yang cukup menakjubkan dan kini, saudara Faiq sekali lagi membuktikan kebolehan mahasiswa tempatan dengan meluaskan jaringan keusahawanannya dalam perniagaan cermin eksklusif bersama dengan pasukannya yang terdiri daripada 30 orang. Selain dari minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan, saudara Faiq sentiasa maju ke depan dalam bidang ini agar beliau dapat membantu komuniti di luar sana dengan segala kudrat yang beliau ada.

 

Apakah dunia perniagaan hanya mengejar dan mengagungkan harta semata-semata? Ujar saudara Faiq, dunia perniagaan adalah lebih daripada soal harta dan kekayaan. Perniagaan baginya membawa seribu makna dan pengalaman. Perniagaanlah yang mengajar kita untuk tidak mudah berputus asa tatkala cabaran datang bertalu-talu tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi. 

Perniagaan juga mendidik kita untuk menyelesaikan masalah, dan bukan melarikan diri daripada masalah. Perniagaan mengajar apa itu erti persahabatan sebenar dan turut mengasah pemikiran kreatif dan inovatif, dalam menghadapi segala liku dan jerih perih kehidupan. Kata saudara Faiq, apabila menceburi bidang perniagaan, ia turut mengajar apa itu erti bersyukur dan membantu satu sama-lain.

 

Sewaktu saudara Faiq memulakan perniagaan brownies beberapa bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, saudara Faiq menerima tempahan yang cukup lumayan sehingga pendapatan beliau mencecah 4 angka sebulan. Namun siapa sangka, terlaksananya Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan hampir kesemua tempahan dibatalkan, yang bersama saudara Faiq, hanyalah lambakan stok bahan mentah dan tiada permintaan daripada pasaran. Ujian yang dihadapi tidak terhenti setakat itu sahaja, kilang bakerinya dipecah masuk lantas menyebabkan saudara Faiq terpaksa menanggung kerugian yang mencecah ribuan ringgit.

 

Namun, ini tidak sesekali melenyapkan minat dan mematahkan semangat tekadnya dalam bidang perniagaan kerana saudara Faiq percaya, Tuhan tidak akan menguji seseorang sesuatu yang di luar kemampuannya.

Saudara Faiq dan rakan terus bersama-sama melibatkan diri dalam membawa masuk buah Harum Manis dari Perlis ke Lembah Klang, serta memulakan perniagaan penjualan lemang bersama rakannya. Kebijaksanaan saudara Faiq bertindak pantas dalam krisis yang melanda cukup menunjukkan sikap tidak putus asa beliau serta betapa komitednya beliau terhadap apa yang dilakukan.

 

Ujar beliau, setiap bidang yang diceburi mempunyai cabarannya tersendiri, tetapi ianya dapat diselesaikan dengan tiga kata kunci iaitu “Usaha, Ilmu, Semangat.”

 

Bila ditanya apakah kata-kata motivasi yang boleh diberikan kepada rakan universiti, kata beliau: “Nak jadi hebat, buatlah sehabis baik kepada diri kita terdahulu, dan masyarakat akan menerima faedah susulan daripada kejayaan kita.” 

Dikarya Oleh

Tan Ray Ming

Diolah Oleh

Shun Yong
Qussiynur Yakin
Thenesh Anbagalan

Grafik & Rekaan Oleh

Fatin Jazmina
Tey Zhin Chuan
Haniss Haidi