C15.jpg

Asnan Ahmad

“Saya ingin jadi pemain bola” jawab seorang kanak-kanak berumur 8 tahun yang bernama Asnan bin Ahmad apabila ditanya oleh ibunya apakah cita-cita di waktu belia kelak. 20 tahun kemudian, namanya tidak asing dalam lingkungan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan di luar. Beliau merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian Sukan Rekreasi daripada Fakulti Pendidikan.

  • Instagram

Kisah Asnan

Beliau menghabiskan zaman kampusnya dengan menyertai pasukan UKM FC selama 8 tahun yang kini merupakan seorang pemain tengah Terengganu FC. Asnan merupakan seorang anak jati Kedah yang membesar di daerah Pendang. Di awal remaja, Asnan mula bergiat aktif dalam sukan ini sewaktu tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 di salah sebuah sekolah sukan. Namun, keluarganya menghantar beliau ke sekolah menengah biasa untuk fokuskan pada akademiknya sehingga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Sungguhpun yang demikian, beliau masih setia bermain sukan yang digemari olehnya sehingga menjadi salah seorang pemain kepada skuad Piala Presiden Kedah. 

 

Jodohnya bersama UKM bermula dengan dorongan rakan akrab semasa mereka bersama dalam skuad Piala Presiden. Sebaik mendapat keputusan STPM, tanpa ragu, Asnan meletakkan pilihan 1 sehingga pilihan 6 dalam borang permohonan universiti awam adalah UKM sebagai tempat untuk beliau mencorakkan langkah hadapan. Seawal minggu pertama beliau menjejakkan kaki di UKM lagi beliau telah mengikuti latihan bola sepak. Pada masa mulanya, beliau berasa kerdil kerana ahli pasukan yang lain merupakan bekas pemain kebangsaan yang mempunyai latar belakang lebih tinggi berbanding apa yang dimilikinya. Sementelahan itu, ahli pasukannya yang lain yang merupakan bekas pemain Harimau Muda mendapat liputan media daripada Harian Metro. Namun, dengan alpukah yang jitu, Asnan tidak mengenal erti lelah kerana beliau mencari inisiatif sendiri untuk berlatih. Apabila ditanya bagaimanakah beliau menangkis rasa kerdil itu, “berlatih pagi, petang dan malam” ringkas beliau. Baginya, rekod atas kertas hanyalah pencapaian yang telah dicapai. Untuk melihat keupayaan sendiri perlu diukur berdasarkan persembahan semasa dan bukan waktu lampau. Pandangan orang tidaklah sama dan usah berkecil hati mengatakan tidak mampu kerana segala kelemahan boleh dibaiki. 

Sepanjang beliau berkhidmat sebagai Kapten UKM FC dari tahun 2018 hingga 2020, perjalanan ini sudah tentu ada manis dan pahitnya, ada cerah dan mendungnya yang tersendiri. Asnan percaya bahawa pimpinan yang mapan adalah melalui teladan. UKM FC merupakan sebuah pasukan yang diwarnai dengan kepelbagaian latar belakang pemainnya. Ada pemain yang diimport, ada juga yang bermain secara sepenuh masa, mempunyai keluarga sendiri serta pelajar universiti. Pelbagai ragam yang mencorakkan perayaan perbezaan. Oleh kerana itu juga tugas sebagai seorang kapten adalah tidak mudah. Hormat sebagai seorang ketua tidak perlu dipinta, ia datang dengan sendiri tanpa suara. Untuk memastikan rakan sepasukannya memberikan tumpuan yang penuh dalam latihan, Asnan terlebih dahulu menunjukkan komitmen 100% dalam setiap latihan. Dengan menunjukkan etika kerja yang baik akan memberikan persekitaran dan tekanan yang positif kepada ahli pasukannya untuk memberikan prestasi yang terbaik. 

 

Bekas Kapten UKM FC ini juga tidak melihat tohmahan sebagai punca kepada dirinya untuk berhenti. Beliau malu untuk mengecewakan dirinya yang berumur 8 tahun yang sewaktu itu berangan-angan untuk menjadi pemain bola. Setiap komen, kutukan serta cemuhan daripada penonton mahupun penyokong tidak memberi kesan apa-apa kecuali sebagai pemangkin buatnya untuk memberikan persembahan yang lebih baik. Misalnya pada perlawanan Challenge Cup 2019 menentang pasukan Johor Darul Takzim II apabila Asnan gagal menyempurnakan sepakan penalti. Asnan tidak berasa putus semangat kerana beliau tidak boleh mengubah takdir yang berlaku. Sebaliknya, beliau masih berpeluang untuk memperbaikinya pada masa mendatang. Malah, beliau fokus untuk membuat latih tubi sepakan penalti dengan lebih konsisten dan tekun supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Asnan juga merupakan seorang yang mempunyai inkuisitif yang tinggi. Perjalanan Asnan untuk menuntut ilmu tidak berhenti pada Sarjana Muda. Baginya, apa yang dipelajari dalam bilik kuliah memberikan beliau keyakinan untuk berkomunikasi dan memupuk keyakinan diri. Berbekalkan pengalaman dan berpengetahuan dari sudut teori, beliau memberikan beberapa nasihat untuk menentang pihak lawan yang secara rekod mempunyai kelebihan. Beliau berseloroh dalam dialek Kedah dengan analogi “depa ada dua kaki, kita pun ada dua kaki”. Dalam kesibukan menguruskan masa sebagai seorang mahasiswa dan juga atlet bola sepak, beliau turut telusuri nama-nama kolej di UKM sehinggakan pernah mengaryakan cerpen mengenai Pendeta Zaaba. Ilmu-ilmu tambahan itu juga turut dijadikan sebagai pendorong baginya serta secara tidak langsung dalam tugasnya sebagai kapten pasukan.

 

Apabila ditanya apakah perkara lain yang ingin dicapai, Asnan ringkasnya ingin mencari banyak pengalaman bermain di luar negara serta berimpian untuk menyarung jersi Harimau Malaya kelak. Beliau ingin mencabar dirinya walaupun umur beliau mungkin menjadi halangan. Dalam nota akhir beliau semasa ditemu bual oleh TEDxUKM, beliau berharap agar TEDxUKM dapat menjadi salah satu pemangkin untuk membina negara Malaysia sebagai sebuah negara yang  berbudayakan sukan. Budaya yang mempromosikan sukan bukan hanya sekadar rekreasi serta tidak perlu diambil serius tetapi mampu menjadi dorongan sebuah industri yang melahirkan sarjana dalam sukan serta punca rezeki yang menjamin masa hadapan. 

Dikarya Oleh

Aiman Danial

Disunting Oleh

Hollis Francis
Ng Chien Chern

Grafik & Rekaan Oleh

Tan Ray Ming
Tey Zhin Chuan
Haniss Haidi
Kaniemozhi